26 March 2011

Apakah Kehidupan Anda Terluka Saat Ini?


Sahabat-sahabat ku,

Pertama-tama, saya ingin membawa anda menyedari betapa bermaknanya anda pada pandangan Allah. Ya, anda cukup berharga, tidak ternilai harganya dan dikasih Allah tanpa tolok banding. 

Sahabat-sahabat ku,

Saya tahu bagaimana rasanya sakit, bagaimana rasanya ingin menyerah, putus asa, sehingga terlintas untuk mengakhiri hidup ini saja. Saya tahu kerana saya pernah melalui semua itu sebelum ini. Jelasnya keperitan itulah satu-satunya perkara yang saya dapat rasakan selama dalam waktu kesesakan derita itu. Namun, saya sangat bersyukur kerana pada hari ini saya berdiri sebagai satu peribadi yang boleh menjadi bahan kesaksian tentang betapa dalamnya kasih dan rahmat yang Allah telah berikan ke atas kehidupan saya. Pada hari ini, saya mahu agar anda juga tahu bahawa kasih dan rahmat itu juga boleh terjadi ke atas kehidupan anda.

Sahabat-sahabat ku,

Ketika saya melalui kesakitan daripada keperitan hidup saya, saya sebenarnya turut menyakiti diri saya sendiri. Secara jelasnya saya sebenarnya membuat hidup saya lebih terluka dan berdarah. Saya pernah  cuba membunuh diri sebanyak 3 kali tapi 3 kali itu jugalah Allah campur tangan ke dalam. Pada awalnya saya tidak mengerti mengapa Tuhan membiarkan saya hidup kalau memang hanya keperitan dan kesengsaraan sahaja yang akan saya lalui sepanjang saya menghirup nafas yang Dia pinjamkan ke tubuh saya. Namun, sekarang saya mengerti kenapa Allah mengungkapkan hal-hal itu kepada saya. Ya, kerana Allah mahu agar saya dapat mengenal hingga ke ke akar umbi tentang makna kesakitan itu agar saya mampu mengimpati kesedihan sahabat-sahabat saya ketika mereka melalui saat-saat keperitan dalam hidup mereka. Allah menjadikan saya sebagai insan yang boleh dipergunakan sebagai alat untuk menyejukkan dan yang boleh memberi perteduhan kepada hati para sahabat yang terluka.

Sahabat-sahabat ku,

Sebelum anda dilahirkan, Allah sudah mengetahui segala-galanya tentang anda. Dia menciptakan anda menurut gambaran-Nya, mencurahkan peribadi-Nya ke atas anda. Ya, keindahan-Nya yang dicurahkan ke atas anda. Dia menciptakan anda dengan iringan anugerah peribadi, talenta, kebolehan, kemahiran, segala-galanya yang anda perlukan untuk memenuhi rancangan-Nya untuk kehidupan anda. Allah memaksudkan anda untuk melakukan perkara-perkara besar. Apabila Dia melihat dan merenung anda sebagai penciptaan-nya yang sempurna, Dia tersenyum dalam kepuasan-Nya kerana Dia dapat melihat kehadiran diri-Nya sendiri di dalam anda, Dia melihat adanya keindahan yang telah Dia curahkan ke atas anda, ya... segala-galanya yang terbaik tentang anda. Allah melihat anda telah menjadi satu peribadi yang lengkap dan maksud kenapa anda menjadi peribadi itu. Allah memberi kepercayaan-Nya kepada anda tanpa berbelah bagi walau sedikitpun. Anda bersedia untuk dilahirkan, bersedia untuk rancangan khusus, disertakan dengan kebolehan yang ada yang bagi Dia, tiada satu peribadi lain pun yang akan mengambil tempat anda sebagai satu peribadi itu. Sedarkah anda bahawa bila Allah memulakan penciptaan anda sebagai satu peribadi itu, Dia membuat segala-galanya dalam erti kata indah yang mana tidak akan pernah ada lagi satu peribadi lain seterusnya yang bernama anda melainkan anda yang telah diciptakan pada waktu Dia melakukan penciptaan itu. jadi, tiada siapa pun yang mampu mengambil tempat anda di hadapan Allah. Demikian anda begitu dikasihi-Nya sehingga Alkitab menyatakan bahawa Dia benar-benar tahu jumlah rambut di kepala anda.


            “Bukankah burung pipit dijual lima ekor dua duit? Sungguhpun 
            demikian tidak seekor pun dari padanya yang dilupakan Allah, 
            bahkan rambut kepalamu pun terhitung semuanya. Karena itu 
            jangan takut, karena kamu lebih berharga dari pada banyak 
            burung pipit.
                                                                           [ Lukas 12:6-7 ]

Sahabat-sahabat ku,

Segala makna pemikiran Allah ke atas diri anda adalah tidak terhitung jumlahnya, tidak tercapai oleh akal anda sesungguhnya kerana segala-galanya terlalu banyak dalam perkiraan-Nya, ya... lebih banyak daripada bilangan butiran pasir di pantai. Dan pemikiran itulah yang mebuat Allah sering mengingat anda, Dia sesungguhnya begitu peduli akan anda, mengambil berat akan anda dan segala yang berkaitan dengan kehidupan anda, mahu yang besar sebesar cakrawala ataupun yang kecil sekecil zarah. Ingatlah itu sahabat-sahabat ku. Alkitab menceritakan segala-galanya  tentang betapa selayaknyalah kita memberikan perhatian kepada Allah kerana Dia telah memberkati kita tanpa sedikitpun yang tercicir dari berkat itu. Tapi apa yang terjadi sebaliknya setelah berkat-berkat itu dicurahkan ke atas kita sejak mula penciptaan kita? Kita malah tidak pernah berasa bersyukur, semudah itu kita melukai Allah dengan sikap kita yang sedemikian. Secara fizikal manusiawi, mereka yang lengkap secara fizikal manusiawi masih boleh berkata bahawa betapa dirinya dan kehidupannya sungguh tidak bermakna, sungguh tidak diberkati. Lebih menyakitkan Allah apabila dia tergamak mengatakan bahawa hanya kematian yang lebih sesuai bagi dirinya daripada meneruskan satu kehidupan di atas muka bumi ini sedangkan kehidupan itu telah dianugerahkan Allah secara percuma kepadanya. Nah! Apa lagi mereka yang cacat fizikal sejak lahirnya, ada yang boleh berkata melalui sesalan-sesalan yang tiada putusnya. Ya, sering kita mendengar keluhan seperti  “Kenapa saya dilahirkan cacat begini?” tapi sedikitpun tiada rasa berterima kasih atas kehangatan nafas yang sedang dihembus dan dihirupnya yang dianugerahkan Allah khas dan istimewa bagi dirinya. Namun, betapa dalam kasih Allah yang dapat kita renungkan pada peribadi-peribadi orang cacat yang benar-benar mengetahui bahawa dalam kecacatan itu tetap ada keperibadian Allah yang telah disertakan melalui kelahirannya ke dunia ini. Orang-orang cacat yang bersuara dan berseru “Hidupku adalah anugerah Allah yang terindah!”. Jadi, kenapa anda yang lengkap fizikal tidak mampu bersuara sedemikian, tidak mampu menghayati makna penciptaan Allah ke atas anda? Apakah kematian itu adalah satu-satunya cara untuk anda menyatakan protes kepada Allah sedangkan sedikitpun itu  langsung tidak ada dasarnya?

Sahabat-sahabat ku,

Yesus mengasihi anda dan saya. Yesus mengasihi kita cukup banyak. Bukan sengaja diada-adakan derita paku-paku di tangan-Nya ketika Dia disalibkan tapi semua itu kerana nilai cinta-Nya untuk ciptaan-Nya yang paling bermakna, kita! Ya! Kerana kasih-Nya kepada kita – anda dan saya – dan bukan setakat kasih-Nya, malah Dia memerlukan kita untuk terus bersama Dia dalam kerajaan Allah, dalam segala keindahan kehidupan kekal.

Sahabat-sahabat ku,

Saya tahu saya juga telah melalui segala kesilapan dalam hidup ini dengan mempersalahkan Allah terhadap segala keperitan yang telah saya lalui. Bukan sehari dua malah telah bertahun-tahun lamanya saya telah mempersalahkan Allah atas segala derita yang saya alami dan yang saya pasti bahawa anda juga sama seperti saya pada ketika ini. Tapi kali ini saya mahu mengajak anda untuk merenung seketika dan Roh Kudus akan membuka minda anda untuk menerima catatan saya ini sehingga anda akan kembali kepada Allah, sama seperti saya kembali kepada-Nya dalam sesalan mendalam yang hanya dapat saya gambarkan melalui linangan airmata saya. Namun, terima kasih ya Allah kerana tangan pemilik keabadian itu jugalah yang menyapu airmata saya. Allah menangis bersama-sama saya kerana betapa gembiranya Dia melihat kepulangan saya ke sisi-Nya, betapa kerinduan-Nya selama ini kini terubati dengan kaki yang kembali ke hadapan-Nya meski dalam keadaan tubuh saya yang berlumpur dosa bertahun-tahun, sedikitpun Allah tidak memperhitungkan itu lagi untuk kehidupan saya yang telah saya sia-siakan selama ini kerana bagi Dia kepulangan saya telah dengan sendirinya menghapus murka-Nya terhadap saya. Lihat! Bukankah itu menyatakan dengan sendiri betapa baiknya Allah? Dialah tulang rusuk kita yang sempurna yang menjadikan kita seimbang dalam segala perkara.

Marilah sahabat-sahabat ku,

kita mulai kehidupan peribadi kita yang baru. Anda mungkin tidak tahu bahawa sedetik keadaan hidup anda yang tersentuh akan dapat pula menyentuh peribadi lain sehingga peribadi itu juga akan menyentuh ramai lagi peribadi seterusnya. Mari kita anjakkan peribadi kita kepada satu tahap yang akan menjadi saluran berkat baru oleh Allah kepada setiap peribadi lain. Allah mengasihi anda dan saya! Amen!


Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...